Thursday, August 5, 2010

Hikayat Pada Masa Itu...

Utusan Malaysia 8/2010 Oleh Zaini Hassan

DAP dan para pemimpinnya kini sering merujuk kepada kejayaan Singapura. Singapura itu dan Singapura ini. Malah, kononnya Pulau Pinang juga kini mendapatkan pelbagai nasihat daripada republik itu.

Kelmarin, Tony Pua, penasihat ekonomi DAP yang juga Ahli Parlimen PJ Utara, turut merujuk kepada sistem yang diamalkan di Singapura apabila mahu menasihati kerajaan Selangor supaya mansuhkan diskaun pembelian rumah untuk bumiputera.

Apabila beliau memperlekehkan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Malaysia, dia juga merujuk kepada Singapura yang menurutnya republik itu berada di tahap tertinggi berjaya menarik pelaburan berbanding dengan negara-negara ASEAN lain.

Asyik-asyik Singapura. Kita memang sedar DAP dan parti yang memerintah Singapura sekarang iaitu PAP ialah adik-beradik. Mungkin kerana itu, tumpuannya banyak berkiblatkan republik itu.

Singapura ialah sebuah negara sudah tiada beraja yang mengamalkan sistem republik. Ada juga desas-desus yang mengatakan corak sistem sebegitulah yang diidam-idamkan oleh DAP. Benar atau tidak, saya tidak tahu, tapi berat-beratnya macam betul? Apapun hanya Allah Yang Maha Esa sahaja yang amat mengetahuinya.

Ekoran kegawatan politik yang memperlihatkan – teori saya – orang Melayu berpecah kepada enam (rujuk Cuit 25 Mac 2009: Melayu bukan UMNO lagi, Melayu sudah minoriti) maka tiada mustahil akhirnya, Singapura akan bersambung dengan Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Putrajaya, Perak, Pulau Pinang (sudah seakan-akan Singapura sekarang) serta Kedah. Apabila kesemua negeri ini bersambung dengan satu ideologi, maka tidak mustahil sistem pemerintahan yang diidam-idamkan oleh DAP itu akan menjadi kenyataan.

Pada masa itu, Singapura akan dikenali sebagai Singapura Raya (the greater Singapore) dan ia tidak perlu bimbang lagi dan pada masa itu DAP akan menjadi sebuah parti yang akan mendapat sokongan padu orang- orang Melayu yang berpecah enam tadi.

Pada masa itu juga, Pas akan terus bekerjasama dengan DAP – sama-sama bertepuk belakang – dengan disokong oleh jiran seberang Tambak Johor (yang pada masa itu semua pihak akan bersetuju bahawa Tambak Johor bukan lagi bernostalgik, dan ia akan dirobohkan bagi membolehkan air laut Selat Tebrau yang cukup kotor itu dapat mengalir dengan tenangnya dan kapal-kapal dapat berlayar melalui selat itu.)

Pasa masa itu, Tony Pua serta Lim Guan Eng serta Lim Kit Siang (mungkin akan menjadi Menteri Mentor Malaysia) akan memerintah. Tony Pua pada masa itu tidak perlu lagi mencadangkan itu dan ini, tapi sudah boleh meminda apa-apa sahaja akta yang difikirkan perlu untuk rakyat Malaysia, khususnya yang berkepentingan orang Melayu.

Pada masa itu juga, orang Melayu akan menjadi orang yang paling tenang kehidupannya di alam maya ini. Dan, pada masa itu juga orang Melayu tidak lagi akan bercakap mengenai soal perpaduan Pas-UMNO, kerana mungkin UMNO sudah tiada lagi, atau mungkin sudah bertukar nama.

Pas pada masa itu, akan menjadi parti yang paling gembira kerana dapat mengembangkan ajaran agamanya tanpa sebarang paksaan (berbanding masa sekarang dan pada zaman Mahafiraun dulu).

Nik Aziz Nik Mat, jika masih hidup pada masa itu akan menjadi orang yang paling gembira, segembiranya beliau apabila dapat berjabat tangan dengan Lee Kuan Yew di Kota Bharu tidak lama dulu.


Pada Masa Itu Lagi...

SEKARANG DAP terlalu memuja Singapura kerana hebatnya negara itu. Dan memuji orang Malaysia kerana dapat bekerja dengan gaji besar di negara itu.

Pada masa itu, Singapura bukan lagi menjadi tempat tinggal yang paling baik untuk rakyat di negara pulau itu. Mereka mahu mencari tapak-tapak rumah yang lebih besar. Jika sekarang mereka hanya menghuni di rumah-rumah kiub, mereka mahukan rumah-rumah banglo.

Ia hanya boleh diperoleh di tanah Semenanjung yang cukup luas ini. Sekarang pun, jika orang Singapura diberi kerakyatan Malaysia - saya boleh bayangkan, pintu sempadan akan pecah dirempuh mereka.

Mereka mahu mencari tanah yang lebih luas untuk hidup. Sekangkang kera, sudah tidak cukup. Jutawan dan bilionwan sana mahukan rumah yang lebih besar untuk mendirikan mahligai masing-masing. Negara pulau itu sudah terlalu kecil.

Itu pasal sekarang pun, ramai yang sudah bermastautin di Australia atau New Zealand kerana mereka mahukan tanah yang luas.

Pada masa itu, soal batasan sempadan bukan masalah lagi. Berduyun-duyunlah orang seberang sana, mencari ketenangan di tanah Semenanjung atau Sabah dan Sarawak yang penuh dengan kehijauan ini.

Tanah kini terbentang luas bagi mereka. Tidak perlu lagi ke Australia atau pun New Zealand.

Hukum alam sebenarnya berputar. Ia ada kitarannya. Hanya orang yang tidak tahu sejarah, tidak pernah percaya wujudnya kitaran seperti ini. Ingat sejarah; Singapura dulu milik orang lain, kini milik orang lain.

Malaysia juga tidak terkecuali.

Thursday, July 22, 2010

aku nak g endau rompin bln seblas.. sapa nak ikut.

ikut peta 3D2N..

Wednesday, December 30, 2009

Rasional ganti MiG-29N


Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang Dewan Rakyat baru-baru ini telah mengumumkan bahawa pihak Kementerian Pertahanan sedang meneliti perolehan pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) dari empat negara pengeluar iaitu Amerika Syarikat, Perancis, Itali dan Sweden sebagai ganti kepada pesawat pejuang sedia ada iaitu MiG-29N.
Pengumuman tersebut yang dibuat pada 28 Oktober lalu telah mengesahkan bahawa perkhidmatan pesawat tempur MiG-29N dari Rusia yang sedang digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia akan ditamatkan pada penghujung tahun 2010. Pada ketika ini TUDM mempunyai 16 pesawat MiG-29N yang berpangkalan di Kuantan.
Keputusan menggantikan MiG-29N tersebut menarik perhatian ramai bukan sahaja kerana kos yang tinggi tetapi juga ia bakal merubah senario penguasaan udara rantau Asia Pasifik. Sememangnya tidak dapat dinafikan setiap pembelian aset pesawat tempur sudah pasti akan menelan perbelanjaan yang tinggi dan keputusan yang dibuat itu sudah pun dikaji dengan mendalam.
Perolehan 18 pesawat pejuang Sukhoi SU-30 MKM sudah pasti menarik perhatian kerana ia melibatkan perbelanjaan yang agak besar iaitu sebanyak RM3.42 bilion. Tetapi kos yang tinggi tersebut dengan mudah dapat mengimbangi kepentingan strategik pemilikan SU-30 dalam konteks pertahanan dan kedaulatan negara.
Jika ada pihak yang masih mempertikaikan perolehan SU-30, suara tersebut hanyalah merangkumi golongan minoriti.
Jika ada pihak yang mempertikaikan penggantian MiG-29N, ia banyak berkisar kepada logik bahawa pesawat tersebut masih boleh digunakan kerana usia penggunaannya oleh TUDM baru menjangkau 20 tahun.
Menggunakan dalil tersebut pihak berkenaan juga telah menghujahkan bahawa keputusan penggantian MiG-29N itu bakal menguntungkan pihak tertentu yang sering berurusan dengan Kementerian Pertahanan.
Sememangnya boleh diterima bahawa MiG-29N masih mempunyai peranan dalam TUDM tetapi sepanjang dua dekad operasinya, pesawat tersebut banyak mendatangkan masalah terutama sekali berkaitan dengan kos baik pulih.
Secara puratanya kerajaan terpaksa membelanjakan sehingga RM260 juta setahun hanya untuk senggara 16 MiG-29N iaitu satu nisbah kos senggara per pesawat antara paling tinggi di dunia.
Pada pembentangan Bajet 2010 yang lepas, Angkatan Tentera Malaysia menerima peruntukan yang agak terhad untuk urusan operasi dan pembangunan pertahanan negara.
Peruntukan pembangunan pertahanan tahun 2010 sebanyak RM1.9 bilion umpamanya adalah jauh berkurangan jika hendak dibandingkan dengan tahun sebelumnya sebanyak RM2.3 bilion.
Tambahan pula dengan perolehan dua kapal selam Scorpene, sudah pasti kos operasi aset Angkatan Tentera Malaysia akan naik dengan begitu mendadak.
Malaysia tidak boleh mengambil pendekatan doktrin pertahanan Singapura umpamanya kerana Angkatan Tentera Singapura (SAF) mampu menyusun strategi pertahanan mereka dengan begitu rapi kerana mempunyai peruntukan tahunan yang agak lumayan sehingga mencapai 6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) republik tersebut.
Perolehan aset pertahanan SAF tidak kira sama ada melibatkan pesawat pejuang, kapal selam atau helikopter tempur, lazimnya tidak mengambil endah kos yang bakal ditanggung kerana peruntukan pertahanan Singapura membenarkannya.
Setiap keputusan perolehan aset hanya mengambil kira satu faktor, iaitu kepentingan strategik yang mampu menjamin kedaulatan negara tersebut.
Sebab itu keputusan menggantikan MiG-29N dianggap sebagai dasar yang strategik bukan sahaja untuk kepentingan menjamin kedaulatan negara tetapi juga untuk memastikan bahawa perbelanjaan sama ada untuk operasi atau pembangunan pertahanan digunakan sebaik-baiknya.
Membelanjakan sebanyak RM16 juta setahun untuk operasi satu pesawat MiG-29N adalah tidak berbaloi kerana keupayaan pesawat tersebut jauh ketinggalan berbanding dengan SU-30.
Jika diteliti dari sudut strategik pula, gandingan pesawat pejuang SU-30 dengan MRCA yang bakal dibuat adalah begitu menakjubkan tidak kira MRCA tersebut dari AS, Perancis, Itali atau Sweden.
Kemampuan SU-30 sahaja dapat menandingi malah melebihi kemampuan yang dimiliki oleh jet pejuang canggih buatan AS seperti F-22 Raptor. Malah tidak keterlaluan jika dinyatakan jet pejuang AS yang lain seperti F5, F15 dan F16 seperti yang dimiliki oleh Tentera Udara Singapura (RSAF) adalah jauh ketinggalan dengan kemampuan SU-30.
Jika perolehan 18 jet pejuang SU-30 sudah menakrifkan TUDM sebagai kuasa udara yang dominan di rantau ini, maka amat pasti sekali gandingan SU-30 dan MRCA yang bakal diperolehi sudah tentu akan menjadikan TUDM sebagai kuasa udara yang perlu dihormati.
Persepsi sedemikian rupa bukan sahaja penting untuk pertahanan negara malah lebih penting untuk menjamin kedaulatan Malaysia.

Wednesday, September 2, 2009

Kapal selam KD Tunku Abdul Rahman tiba di Pelabuhan Klang



KLANG 3 Sept. - Kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman jenis Scorpene tiba di perairan Pelabuhan Klang di sini kira-kira pukul 8 pagi ini.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyambut ketibaan kapal selam itu bersama krew dalam satu istiadat penuh bersejarah di Jeti KD Sultan Abdul Aziz Shah.
Turut menyambut, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.
- Utusan

Thursday, August 13, 2009

Kisah Yang Pelik Tapi Benar

*BILA ADUN BN lompat parti ke PR, halal. Bila ADUN PR lompat parti ke BN, haram (di Perak).
*Bila Mufti Perak sokong Pas, dia ulama terbilang. Bila Mufti Perak tegur Pas, habis dimaki hamun.
*Bila menang pilihan raya, puji SPR. Bila kalah, maki hamun SPR.
*Bila ADUN BN buat perbuatan tidak bermoral, kutuk habis-habisan. Bila ADUN PR yang buat disuruh berehat saja (Elizabeth Wong).
*Masa perintah Perak, cakap Raja Perak paling adil. Tapi bila dah hilang kuasa, tuduh Raja Perak macam-macam.
*Sebelum berkuasa, beria-ia hendak laksana hudud. Lepas dapat kuasa, cakap hudud tak wajib.
*Bila UMNO kata hudud sukar dilaksana, caci-maki-kafirkan habis- habisan. Bila DAP kata langkah mayat saya dahulu, Pas kata baiklah “Kami Dengar dan Taat”.
*Bila orang luar hina nabi berarak satu KL, bila Raja Petra Kamarudin (RPK) hina nabi, senyap membisu (mungkin orang Pas lebih sayangkan RPK dari nabi).
*Bila kerajaan naikkan harga minyak, marah menggila, bila kerajaan turunkan harga minyak, cakap itu hanya muslihat politik.
*Bila Pak Lah kata nak teruskan jambatan bengkok, kutuk Pak Lah sebab jadi patung Mahathir. Bila Pak Lah batalkan, pun kutuk Pak Lah sebab tidak dengar cakap Mahathir.
*Masa Pak Lah PM, desak Pak Lah undur. Bila Pak Lah nak undur ganti Najib, Hadi kata Pak Lah tak payah undur pulak.
*Bila PR buat demonstrasi, itu demokrasi. Bila BN buat demonstrasi, gesa polis ambil tindakan.
*Bila menang pilihan raya, itu namanya demokrasi. Bila kalah, ada pengundi hantu.
*Bila Kelantan mundur, salahkan Kerajaan Pusat. Bila negara maju, itu hasil sumbangan Anwar ke luar negara cari pelaburan tak langsung.
*Bila bersendirian bertakbir, sekarang bila berdua dengan DAP ber take beer! (di Selangor boleh jual arak di kawasan majoriti umat Islam)
*Bila mulakan ceramah, baca bismillah puji nabi. Masa tengah ceramah, habis semua yang berbeza pandangan di maki-hamun.
*Bila orang UMNO baca al-Quran dituduh hipokrit, bila orang DAP baca al-Quran (di DUN Perak) dipuji melangit.
*Bila UMNO (parti orang Islam) ajak berdamai kata pergi jahanam, bila DAP ajak bersatu kata setuju (biarpun terpaksa gadai prinsip).
*Bila Beng Hock mati tuduh kerajaan zalim, bila kerajaan tubuh inkues pula kata kerajaan ada konspirasi.
*Kalau Anwar bersumpah dengan nama Allah, benarlah Anwar, tapi kalau Saiful Bukhari bersumpah, dustalah kata-katanya dan boleh dimaki hamun secukup-cukupnya.
Bahkan akuan bersumpah Raja Petra lebih dipercayai daripada sumpah laknat Saiful Bukhari.
*Kalau Anwar tak berani bersumpah, itu pun satu kebenaran tapi bayangkan kalau Saiful yang tak berani bersumpah, confirm dimaki habis-habisan.
*Bila UMNO tak laksana hudud disebabkan faktor ketidaksesuaian, Pas maki ramai-ramai. Tapi bila Azizan Razak kata hudud bukan keutamaan di Kedah, Pas kata itu ijtihad murni.

Thursday, July 9, 2009

Kisah orang Melayu yang tidak kebulur lagi…

ORANG-orang Melayu, nampaknya seperti sudah terlalu selesa dengan kehidupan mereka di negara ini. Mereka tahu apa yang mereka mahu, mereka akan dapat. Tidak kiralah mereka itu menyokong kerajaan atau menyokong pembangkang – orang Melayu tidak akan kebulur hidup dalam negara ini.
Maka itulah, dalam kempen pilihan raya kecil di Bukit Selambau ini - slogan “kami sudah tidak kebuloq dengan BN” dimainkan dari atas lori-lori kecil bergerak (seperti iklan wayang cerita P. Ramlee). Lori dicat hijau itu bergerak ke segenap cerok kampung. Orang Melayu yang melihatnya bersenyum. Kanak-kanak Melayu di kampung-kampung terlompat-lompat keriangan. Orang Cina yang berniaga di kedai-kedai menarik nafas lega - kerana orang Melayu sudah ada wang untuk membeli barangan jualan mereka.
Slogan itu tiada salahnya. Memang benar. Orang Melayu di Malaysia ini sudah tidak kebulur. Anak-anak boleh kerja - paling rendah pun di kilang-kilang - dan paling tinggi anak-anak lulusan universiti yang bekerja besar di Kuala Lumpur dan bandar besar. Anak-anak orang Melayu kini sudah boleh belajar sehingga ke Amerika, England, Australia - dihantar kerajaan dan Mara. Setiap bulan anak-anak yang bekerja akan menghantar wang pulang ke kampung - oleh itu, tiada siapa yang kebulur lagi.
Yang menoreh getah - semalas-malas mereka pun boleh mengumpul sekerap berharga RM2 sekilo, masih boleh hidup. Yang mengait kelapa sawit - harga pasarannya sekarang tinggi dan lumayan. Pendek kata, orang Melayu sudah tidak kebulur. Mereka tidak perlu lagi ‘tongkat’ kerajaan BN untuk menyuap ke mulut mereka.
Yang berniaga kecil, kerajaan Pusat memberikan kepada orang Melayu bantuan pinjaman kecil TEKUN atau bantuan Ikhtiar. Tak kiralah orang itu orang UMNO ke, Pas atau PKR semua beratur untuk memohon bantuan itu. Pendek kata, tiada siapa lagi yang akan kebulur. Sama ada mereka akan bayar balik pinjaman itu atau tidak - itu soal lain. Masing-masing akan mendapat pinjaman mudah sekurang-kurangnya RM10,000 untuk modal berniaga.
Oleh itu, memang betullah kata orang Pas dan PKR dari atas lori kecil itu - “kami tidak kebulur dengan BN lagi”.
Mereka menjerit-jerit tidak mahu dibantu lagi. Orang Melayu - Pas, PKR, malah mungkin seluruh orang Melayu tidak lagi kebulurkan bantuan kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN). Jika tidak, masakan mereka membawa slogan seperti itu.
Kita tidak pasti apakah itu namanya takbur atau lupa daratan, tapi itu tidak penting bagi pihak tersebut, asalkan mereka sudah tidak kebulur lagi. Seorang rakan yang bersama-sama membuat tinjauan di Bukit Selambau ini mengulas slogan itu dengan satu perbandingan analogi kisah ‘‘Anak dan Bapa.”
Katanya, si bapa yang mengasuh dengan penuh kasih sayang anak-anaknya - sekolah yang cukup, makanan, pakaian dan macam-macam lagi, tiba-tiba terkejut dengan sikap anaknya yang berubah setelah dia dewasa dan sudah boleh berdikari.
Si anak, mula menganggap si bapa itu sudah tidak penting lagi. Si anak merasakan dia sudah boleh berdiri sendiri dan tidak memerlukan bantuan lagi. Si anak yang dibela sehingga berjaya itu beranggapan dirinya dan bapanya sudah mempunyai jurang generasi. Jika si anak itu seorang yang berterima kasih, dia akan membalas semula jasa-jasa bapanya - tapi jika sebaliknya, dia akan berkata: ‘‘Saya tidak mengharapkan (kebulur) bantuan bapa lagi’'.
Dalam tradisi Melayu - orang Melayu akan menghormati orang tuanya atau tok-tok gurunya - tapi mungkin di sebabkan berlakunya perubahan zaman, tradisi itu sudah tidak dipedulikan lagi.
Dengan rasa tinggi diri mereka mendabik dada mengatakan mereka sudah berjaya - maka itu mereka sudah tidak kebulur lagi dan tidak memerlukan bantuan lagi.
Jika itulah kehendak orang Melayu - maka mudahlah tugas kerajaan sekarang. Orang Melayu sudah tidak mahu dibantu lagi.
Namun, kita berharap keseronokan orang Melayu itu tidaklah seperti apa yang dialami Pak Kaduk. Dia bersorak-sorak riang walaupun kampungnya tergadai.
Pak Kaduk tidak pernah terfikir bahawa tindakannya itu boleh menyebabkan anak cucunya satu hari nanti akan kebulur semula. Dia mungkin menang tapi dalam kekalahan.

Sunday, May 31, 2009

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

PERATUSAN keluar mengundi paling buruk dalam sejarah pilihan raya di Malaysia. Begitulah kesimpulan yang boleh dibuat berhubung jumlah keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti semalam.
Awang tidak terkejut dengan peratusan rendah keluar mengundi itu. Banyak faktor yang menyebabkan pengundi-pengundi tidak keluar mengundi walaupun cuaca dilaporkan baik sehingga ke petang.
Ada yang percaya tanpa Barisan Nasional (BN), sudah tentulah tidak ada cabaran pada pengundian kali ini. Maka penyokong-penyokong setia BN tidak keluar mengundi walaupun tidak ada arahan supaya berbuat demikian.
Tetapi Awang percaya, pengundi-
pengundi tidak mahu membuang masa keluar mengundi kerana kecewa dengan sikap parti pembangkang yang sengaja mengosongkan kerusi itu untuk menyelesaikan masalah dalaman parti. Mereka juga sudah muak untuk keluar mengundi pada pilihan raya kecil yang sengaja diadakan. Sudah dua kali mereka disogokkan oleh PKR supaya keluar mengundi pada pilihan raya kecil yang tidak sepatutnya diadakan.
Pengundi-pengundi sudah bijak. Mereka tidak lagi ghairah mengundi hanya bagi memenuhi kehendak politik parti pembangkang.
Awang – Mahu ke Manek Urai.